Tuesday, September 11, 2018

Pokok Durian Tuang Bersaiz Besar Tepi Jalan, Tiada Lagi Landmark Rumah Kami

Teks: Nazrul Hysam b Nazdri
Cover photo: Koleksi Peribadi 


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengetahui


Gambar ini diambil 2013 tepi jalan besar di hadapan rumah saya, kelihatan dari jauh pokok yang besar itulah pokok duriannya namun saiznya makin menyusut kalau dibandingkan 30 tahun yang lalu
Kini sudah hampir dua tahun pokok durian gergasi di rumah saya ini ditebang. Banyak kenangan pahit manis kami lalui ketika tumbesaran kami bersama dengan pokok durian gergasi ini dari generasi ke generasi. Pada mulanya hati ini memang tak ambil kisah atau tidak mahu berkongsi cerita mengenai pokok durian ini namun atas kerinduan yang dibendung tanggungjawab hati ini terpanggil untuk saya kongsikan sedikit sebanyak keunikan pokok durian ini agar kisahnya tidak luput dan mendap ditelan zaman.


Rindu!

Ya rindu!.. Rindu dengan kenangan-kenangan zaman kanak-kanak kami menghabiskan masa bersama dengan sanak saudara dan sahabat handai ketika musim durian gugur malah di situ lah kami banyak menghabiskan masa bermain perang-perang serta melakukan aktiviti lasak bila mana dahan-dahan besar patah rapuh atas faktor usia.

Atas kerinduan ini lah hati terpancar untuk memenuhi ruang entri kali ini. Yang mana sejak kali pertama kami tiga beranak memijakkan kaki pindah ke sini pada tahun 1983 pokok durian ini sudah pun tinggi. Besar saiz dengan dahan-dahannya yang banyak daunnya yang merimbun sama menyamai pokok balak di hutan tebal. 

Pada waktu itu dengan keunikan dan rare pokok durian ini ia mempunyai rekod tersendiri, di mana pokok durian ini pokok buah-buahan yang paling tinggi didalam kampung serta pokok yang paling tua dan tahan usianya dalam kampung. Secara tak langsung pokok ini menjadi trademark buat kami sekeluarga. Buat warga Adun Juasseh sebut saja 'pokok durian tuang yang bersaiz besar kat tepi jalan tu', pasti mereka tahu di mana rumah kami.

Bermacam gelaran durian ini diberi nama. Durian daun, durian hutan, durian bukit, durian susu, durian tuang namun apa yang pasti rasanya tidak mengecewakan buat semua selera pelanggan. Tak pahit, tak bergas lemak lemak manis susu gitu sesuai buat semua golongan. Macam saya, saya bukanlah kaki peminat durian tapi dengan durian ini memang saya sanggup makan paling banyak pun sebiji setiap hari sebab durian ini tak cepat muak. Hari-hari mau makan walaupun dapat seulas sudah memadai.

Menurut mak waktu kecilnya arwah uwannya Oley bte Solek yang lahir pada tahun 1901 pernah memberi tahu pada cucu-cucunya bahawa pada usia kecilnya pun saiz batang pokok ini sudah besar menyamai pokok balak dan sentiasa berbuah lebat katanya. Beliau memanggil nama durian ini 'durian tuang'. Kenapa durian tuang?. Sampai kehari ini kami pun masih tidak tahu. Namun panggilan itu hingga kehari ini penduduk disini terutamanya warga tua memang memanggilnya durian tuang.

Diwaktu pemulaan arwah bapanya meneroka tanah ini sekitar tahun 1880 an pokok-pokok buah- buahan liar seperti pokok bacang, sentul dan rambutan masam memang sengaja tidak ditebang agar mereka dapat menikmati buah-buahannya.

Tapi apa yang uniknya mengenai pokok durian ini, pokok durian ini bukan ditanam oleh tangan-tangan manusia tapi peneroka-peneroka awal pada waktu itu mempercayai penuh biji-biji durian ini dicicirkan dari najis-najis gajah liar yang berkeliaran di sini di mana, pada waktu itu belum ada kampung atau penempatan yang wujud. Ketika itu yang ada hanyalah hutan belantara. Jadi jangkaan penduduk pada ketika itu mereka meanggarkan usia pokok durian ini sudah melebihi 50 tahun.

Satu lagi uniknya buah durian ini bila musim dia berbuah ia akan menghasilkan buah yang begitu banyak. Begitu banyak itu maksud saya dengan pokoknya yang besar dan merimbun yakin saya katakan ia akan berbuah melebihi 1000 biji di setiap musim dan tak perlu dibaja.


Bayangkan setiap kali durian ini berbunga, bunga-bunganya memenuhi halaman rumah dan jalan lorong kampung ini, dari jauh kelihatan buminya warna kemerahan dan diiringi bau wangi dari bunga durian tersebut.

Dengan buahnya yang banyak itu bukan saja ia boleh dinikmati pada penduduk setempat malah penduduk-penduduk kampung bersebelahan juga turut dapat menikmati terutama dimusim membanting padi. Suasana itu dapat dirasai oleh emak saya diusia remajanya. Bilangnya kalau musim membanting padi serentak dengan musim durian gugur, ramainya umpama pesta rakyat!.

Namun di zaman kanak-kanak kami keadaan itu sudah mula berubah penduduk pada waktu itu sudah tidak ramai yang mengerjakan sawah padi namun kemeriahan diwaktu musim buahnya gugur tetap terasa kemeriahannya. Bayangkan buahnya yang berkumpul-kumpul rapat memenuhi setiap ruang dahan memang tak terbilang dek akal memikirkanya.

Dan bila buahnya mula belajar gugur ia akan gugur on time malah ia akan gugur dengan banyak. Kalau dipungut hasilnya untuk satu hari buahnya pasti akan dapat dikumpul melebihi satu guni gula.

Dikumpulkan atas sebab apa?. Dikumpulkan buahnya atas sebab untuk saudara mara yang bekerja di kota akan pulang ke kampung untuk menikmati keenakan durian pusaka nenek moyang mereka. Baik yang jauh atau pun dekat pasti berkunjung tiba.

Bila buah dah mula belajar gugur proses mencari dan memungut menjadikan suasana itu amat menyeronokkan terutama kami yang kanak-kanak ini berebut-rebut, seolah-olah sebelum ini macam tak pernah makan durian gelagat kami. Haha. Kelakar sungguh kalau diingatkan kembali. 'Waktu tu sapa pungut buah yang paling banyak dia lah yang paling champion' kononnya!.


Dek kerana berebut-rebut itulah keadaan dibawah pokok yang sebelumnya semak samun beransur-ansur menjadi terang dan lapang setelah dipijak hanyak oleh sikaki pencari.


Carian di Google, inilah contoh buahnya, pelbagai gelaran nama diberi namun kesedapannya hampir tetelan halkum sendiri gamaknya, begitulah istilah yang dapat saya gambarkan betapa enaknya durian ini.

Namun bila saya naik dibangku menengah suasana itu mula berubah pokoknya sudah mula beransur-ansur kurang menghasilkan buah. Titik permulaanya bermula pada tahun 1989, di mana dahannya yang paling panjang sebesar sepemeluk patah rapuh menyembah kebumi. Kami yang sedang nyenyak tidur bolehkan terjaga dengan dentuman itu, mana taknya! bergegar rumah kecil kami.

Bila dilihat keesokan paginya, bersyukur sungguh kami terhadap ilahi dahan yang patah itu jatuhnya kurang dari 15 meter dari tempat tidur kami. Mujurlah rumah kami tak ranap kena hempap malam tu. Syukur!.

Selepas kejadian itu buat setahun dua buahnya masih banyak lagi namun yang nampak ketara perubahan pada dahannya yang hujung-hujung sudah banyak yang patah rapuh di situlah mula menampakan semakin merosot hasil buahnya. Ditambah memburukkan keadaan pertengahan tahun 90 an dahan dihujung pucuk yang strukturnya bercabang dua telah patah salah satu dahannya dan akhirnya pokok durian ini tidak berbuah hampir 3 ke 4 musim lamanya. Kuat diigatan World Cup 1998 durian ini memang tidak berbuah. 

Disitu kami mula menyaksikan sebatang pokok yang dulu tegap dan gagah menjulang kelangit kini beransur-ansur rapuh dimamah usia. Dahan-dahan baru tidak banyak mulai tumbuh yang bertukar tumbuh hanya daunnya saja.Nampak ketara penyusutan struktur batang pokok tersebut atas faktor sudah tua. Buat kali terakhir pokok durian ini menghasilkan buah yang boleh dikatakan agak banyak juga tahun 2003 selepas itu ia tidak berbuah agak lama. Sehinggalah dibajai sekitar 2010 ia mulai berbuah setiap musim sedikit-sedikit

Dari hujung tahun 90 an lagi kami memang berhasrat untuk menebang pokok durian gergasi ini 'atas faktor keselamatan' namun hasrat itu terhalang dan terdiam atas sebab kosnya menelan belanja melebihi 3k pada waktu itu. Tapi hasrat kami tidak pernah terkubur kami tetap usahakan juga namun proses untuk menebang pokok durian ini akan saya kongsi ceritanya di entri akan datang. Tunggu ya!.

Dengan rasanya yang lemak manis bersusu itu keenakan durian ini boleh dikategorikan ia mempunyai standard kelasnya tersendiri. Namun bagi saya ia bukan sekadar pokok durian malah lebih dari itu. Dengan kewujudannya pokok durian ini secara tak langsung ia membentuk identiti dan salasilah keturunan kami.

Malah dengan hanya sebatang pokok saja ia mampu membentuk keukhuwahan yang jitu dan kerja kemasyarakataan yang mampu dipupuk berdekad-dekad lamanya. Dengan tiggalan sejarah inilah saya dari generasi kelima rasa terpanggil untuk memelihara dan mengumpul maklumat terperinci demi rujukan generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...