Saturday, January 18, 2014

KEJAYAAN ITU PASTI

Teks:Nazrul hysam b nazdri
Cover photo:Carian google


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani





Kejayaan merupakan impian semua orang, ada yang inginkan kejayaan dalam pelajaran, kejayaan dalam pekerjaan dan kejayaan dalam hidup. Jika hari ni kita gagal, dan esok masih gagal lusa juga gagal untuk dapat yang kita impikan, satu hari nanti kejayaan tu pasti akan datang. 

Yang penting usaha kita untuk mendapatkannya. Bila kita berusaha, walaupun kita tak berjaya kita akan dapat satu kepuasan. Tetapi dengan syarat kita berusaha, berikhtiar dan bertawakal. Ingat bahawa, orang yang kuat itu adalah orang yang masih boleh tersenyum walaupun dia gagal, dia mampu tersenyum walaupun dia kalah, dia mampu tersenyum walaupun dia dihina atas kekalahan dan kegagalan tersebut.

Cemburu melihat kejayaan orang lain. Sifat biasa manusia, tetapi jangan jadikan cemburu sebagai dendam, jangan jadikan cemburu meresap ke dalam hati sampai menghitamkan lagi hati yang dah sememangnya hitam sehingga rambut pun berubah warna dari hitam ke putih. Cukuplah sifat cemburu itu jadi pengajaran kepada kita. Sekadar menjadi ingatan kepada kita bagaimana untuk menjadi lebih baik setelah tidak berjaya sebelumnya. 

Jangan berbuat sesuatu untuk merampas kejayaan mereka dgn cara kotor. Buang sikap dan pemikiran begitu jauh-jauh. Percaya bahawa rezeki kita telah ditentukan. Ucaplah kata-kata yang baik-kata kepada mereka yang telah mendapat apa yang mereka mahukan, semoga dengan kata-kata positif itu memberi impak positif pada dirinya dan juga diri sendiri. Jika tidak mampu, cukuplah sekadar senyuman untuk meraikan kejayaannya kerana dengan senyuman itu mampu membersihkan hati yang gundah-gulana. 


Biasalah, tak semua yang kita hajatkan kita akan dapat. Penat jerih yang kita lakukan untuk mendapatkan sesuatu itu manis rasanya andai kita redha dengan ketentuanNya. Perlu juga diingat, tiada kejayaan yang akan datang bergolek tanpa usaha. Usaha dan terus berusaha kelak kejayaan tu akan datang dan kita akan menghargai lebih apa yang kita perolehi tersebut.

Bila kita berusaha jangan di impikan kejayaan, kerana bila tidak dapat, kita akan rasa terkilan & sedih, tetapi bila kita berusaha, kita buat yang termampu dan  terbaik dari diri sendiri. Jangan terlalu obses untuk mendapatkan sesuatu.
Kesederhanaan itu perlu. Ada pepatah Inggeris berbunyi 'people are succedding is ordinary people who seek extraordinary way'. Penat berusaha, jangan lupa berdoa. Doa senjata kita.

Jika kejayaan itu milik kita, jangan pula bermegah-megah. Tidak perlu riak atas kejayaan yang diperolehi. Sesungguhnya Allah murka kepada sesiapa yang suka meninggi diri. Panjatkan kesyukuran kepadaNya. Ingat kepada mereka yang tidak berjaya, kerana kita berkongsi cita-cita yang sama. Kejayaan tu adalah milik kita semua. Semoga mereka yang tidak berjaya itu rasa bahagia bersama kita. Jangan sesekali merendahkan sesiapa yang tidak berjaya seperti kita. Allah itu Maha Adil. Tiada siapa yang berusaha tanpa kejayaan. 


Friday, January 10, 2014

JUALAN E-BOOK TERBAIK.

Teks: Nazrul Hysam b Nadzri
Cover photo: Kamera telefon saya


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha Mengasihani



Assalammualaikum buat semua pembaca.
Khas buat pencinta ilmu

Disini saya menjual 6 buah ebook hasil karya Masayu Ahmad dimana beliau yang memberi tunjuk ajar bagaimana menjana wang dirumah.


Ebook memulakan penjenamaan diri dan asas blog
RM 50


Ebook mula  bisnes butik online / offline
RM 50


Ebook 101 Idea Home Based Bisnes
RM 50


Ebook 101 Idea Bisnes Makanan
RM 30


Ebook cabaran berkerja dari rumah
RM 25


Ebook Panduan lengkap 44 hari pantang
RM 30


Dengan harga yang berpatutan sarat dengan ilmu manfaat yang boleh mengubah kehidupan anda di masa hadapan kerana ia memberi pulangan kewangan kepada anda kembali. 

Untuk tempahan :
Sms = 0132988958
Email = nazrulhysam@gmail.com



Saturday, January 4, 2014

AKHIRNYA SAYA MENJADI BLOGGER

Teks: Nazrul hysam b nadzri
Cover photo: Koleksi dalam laptop


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani

Keratan kisah saya di majalah Mingguan Wanita


Atas rentetan yang berlaku ke atas diri saya pada tahun lalu kini hidup banyak dihabiskan berbaring di atas katil menanggung ketidakselesaan kerana memakan ubat serta menanggung sakit yang sedia ada. Duduk di atas kerusi roda juga tidak digalakkan begitu lama faktor keusangan yang tidak lagi sesuai dengan struktur badan, menurut doktor. 

Mak yang semakin lanjut usianya, dialah yang menguruskan segala aktiviti saya sepenuhnya demi memenuhi kehendak anak tercinta. Berat mata memandang berat lagi mak menguruskan saya, tubuh yang berat, lemah dan kaku memang teruji  sesiapa yang mengurus saya. Namun kepedihan itu saya telan jua demi meneruskan satu kehidupan yang penuh barakah di sisiNya.

Kadang kala tahap keboringan ini menerjah juga ke dalam diri, penat lelah, keluh kesah bercampur baur jadinya hanya zikir dan selawat menjadi ubat penenang jiwa. Ya Allah kau keluarkanlah hambamu dari kerumitan hidup ini dan berikanlah sinar kebahagian dunia hambamu ini untuk akhirat ya Allah. Tanpa henti, saya memanjatkan doa pada ilahi hinggakan doa itu menjadi rutin harian jadinya.

Masih segar diingatan, lepas makan tengahari sekitar penghujung bulan september yang lalu saya menerima satu panggilan. Menurut panggilan itu, seorang wartawan dari majalah Mingguan Wanita yang bernama puan Maswa (kak Wa) ingin menginterview kisah hidup saya. Bila mendengar pelawaan itu saya belum dapat memberi kata putus yang sebenarnya.

Apa yang bermain difikiran ketika itu; 'Apa kena mengena hidup saya dengan majalah Mingguan Wanita? Nampak macam tak matching saja.' 

"Tak mengapa, apa-apa hal nanti, Nazrul mesej kakak ya." Pesan kak Wa kepada saya sambil meninggalkan nombor telefonnya.

Selang satu hari saya pun menghantar sms ke kak Wa memberitahu bahawa saya setuju diinterview atas alasan-alasan tertentu.

Ketibaannya empat hari selepas itu yang ditemani oleh sahabat baiknya kak Jami namanya, membuatkan hati tidak keruan dibuatnya. Maklumlah itu bukan perkara biasa buat diri saya namun bila melihat mereka berdua seolah-olah bertemu artis popular rasanya.
Kiri kak Maswa, kanan kak Jami gabungan mantap bagi dunia kewartawanan

Suasana santai disulam dengan gelagat mereka yang bersahaja menjadikan hati telus untuk berbicara. Kemesraan yang dibina pada waktu yang singkat, dapat dipupuk dengan akrab menjadikan memori itu begitu indah dan manis, "meleache'ak macam aya'k gulaa ", bak kata orang Kedahnya.

Ketika itulah kak Wa mempelawa saya untuk menulis blog. Tapi saya tidak tahu cara membuat blog walaupun hati ini teringin sangat untuk mempunyai blog sendiri.

"Tidak mengapa nanti akak suruh kawan kakak siapkan satu blog untuk kau ya. Yang penting, blog tu dapat mengisi waktu lapang kau di rumah," katanya.

Selang dua mingggu kemudian kak Wa menelefon saya. Dia bilang blog saya sudah siap dan terus boleh guna, sebarang pertanyaan boleh tanya orang yang menyiapkan blog kau iaitu kak Net.(Puan Netty Ahhiyer yang kini guru saya dalam kelas asas blog dan penulisan, manis orangnya)," kata kak Wa.

Dialah yang mengajar saya sedikit sebanyak cara mengendalikan blog  sekali-sekala melalui  facebook dengan kemampuan yang ada. Hati gembira tidak terkata ketika itu, jari ini menaip dan terus menaip untuk mengisi waktu lapang.


Namun jauh di sudut hati, bila melihat blog saya seolah-olah banyak yang tidak lengkap di entri saya dan terasa tiada halatujunya. Lama kelamaan saya tiada kepuasan untuk menulis dan saya mengadu kepada kak Net tentang hal itu. Menurut kak Net, "blog yang adik ada ni basic saja, tapi kalau nak dapat trafik yang baik, perlu masuk kelas.

Kini alhamdulilah, jauh perbezaannya bila kita mempunyai guru yang boleh memberi tunjuk ajar dan memberi panduan
terutama dalam membaik pulih tanda baca, mengolah cerita itu jadi lebih menarik dan bermacam-macam lagi dalam penulisan blog ini. Secara tak langsung kita lebih bersemangat untuk menulis dari sebelumnya.

Memang tidak dinafikan kedatangan mereka berdua yang lalu begitu besar maknanya di atas diri saya.Hidup yang dulu penuh kekosongan kini terisi dengan ilmu-ilmu baru malah diri lebih bertanggungjawab membawa isi cerita yang bermanfaat pada pembaca.

"Jika dulu saya hanya terbaring menanti sinar baru dalam hidup saya. Kini, tiada lagi istilah terbaring layu. Ruang blog ini memberi saya ruang untuk terus bersinar sekaligus memberi membangkitkan harapan yang indah dalam hidup saya.








Thursday, January 2, 2014

AZAM BERAZAM

Teks: Nazrul hysam b nadzri
Cover photo: Carian google


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani


Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat tahun baru kepada semua. Diharapkan tahun ini semoga Allah mempermudahkan pengurusan dan dilimpahkan keberkatan dalam bidang baru yang saya ceburi, azam baru, tekad baru, semangat baru, matlamat baru, isteri baru opps! "Acah je tu". Pendek kata semua mau baru.


Berilah kesempatan sekali lagi,
Ku berjanji berhati-hati,
Silap yang dulu sayang, takan berulang,
Cari nafkah arah padang yang cerah.
Sumber: Blues gang- Ke arah padang yang cerah

Tuesday, December 31, 2013

APABILA ALLAH MENGUJIKU

Teks:Nazrul hysam b nadzri
Cover photo:Koleksi peribadi

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani


Brown Sequad Sindrom, inilah nama penyakit yang saya alami setelah setahun mengalami kemalanganan jalanraya. Kini sudah 14 tahun saya menghidap penyakit ini. Kecederaan yang di alami di tulang belakang ( di level c3 ) ia menyebabkan ada kecederaan kecil di saraf tunjang saya pada bahagian tengkuk. Yang dulunya boleh berjalan seperti biasa kini berubah mengunakan kerusi roda sepenuh masa. "Yang ingin mengetahui lebih lanjut cari di google ya".

Ini menyebabkan kaki kanan mengalami kebas-kebas dan lama-kelamaan semakin berat untuk melangkah dan ada waktunya tangan kanan yang dipotong ini berdenyut yang teramat sangat kesakitanya. Kesakitan itu tidak dapat di gambar dengan kata-kata mungkin sesiapa yang pernah mengalami denyutan begitu mungkin tahu betapa seksa menahan kesakitannya barangkali?.

Atas izin keluarga dan hati yang didorong untuk ingin cepat sembuh, saya menjalani pembedahan di bahagian tengkuk pada tahun 1999. Pembedahan itu pun dilakukan dengan lancarnya walaupun ia adalah satu tamparan yang hebat untuk saya tempuhi malah Ia satu perjalanan yang sulit dan amat memenatkan kerana selepas pembedahan itu saya tidak boleh berjalan seperti biasa, boleh berdiri dan melangkah tetapi kena berpaut di tempat yang kuat.

Namun, pada awal september 2012 sekali lagi saya dikejutkan dengan berita yag amat memilukan hati lagi meruntum jiwa, apabila doktor mengesahkan saya mengalami komplikasi kali kedua di bahagian yang sama. Kalau tidak dilakukan sesuatu ia boleh mengakibatkan lumpuh seluruh badan. Ketika itu hanya Allah saja yang tahu betapa sedih dan pilunya hati ini kerana lebih sedekad berjuang untuk sembuh tapi kini lain pula jadinya.

Doktor di bahagian neurosurgery menyarankan agar saya menjalani pembedahan di bahagian leher bagi menyelamatkan tulang leher yang telah bengkok dan sedikit rapuh, dengan cara membuang dua batang tulang digantikan dengan besi titanium sepanjang dua inci. Menurut doktor lagi pembedahan itu perlu dilakukan bagi menyelamatkan saraf pernafasan, tangan kiri serta kencing dan najis.

Memang tidak dinafikan setahun ke belakangan itu memang saya dapat merasakan kekuatan saya ada sedikit merosot terutama di bahagian kaki kanan, ini menyebabkan saya tidak boleh berdiri lama. Untuk ke hospital pula begitu banyak halangannya, hidup yang serba kekurangan sering merencatkan niat untuk ke sana.

Bila mendengar penjelasan dari doktor itu bermacam ona kurang enak bermain di minda. Hati kecil mula berkata 'pembedahan yang dulu sampai sekarang keadaan badan lemah dan memenatkan apatah lagi pembedahan kali kedua?'. Setelah berbincang dengan saudara mara dan teman-teman terdekat saya  memohon menangguhkan pembedahan buat sementara waktu agar memberi ruang kepada saya mencuba alternative lain.


Laporan terkini daripada doktor
Kini setahun telah berlalu, kedatangan saya ke klinik neurosurgery baru-baru ini memberi sekelumit kelegaan buat diri ini setelah menjalani pemeriksaan oleh doktor tangan kiri ini masih lagi tidak menunjukkan sebarang kelemahan yang ketara dan mampu untuk mengangkat tangan walaupun hampir tiga kali saya menangguhkan pembedahan. 

Namun tidak di nafikan ada waktunya tangan ini mengalami kelenguhan dan kekebasan terutama ketika banyak menaip.Tapi ia langsung tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan kerjaya saya dalam bidang penulisan agar mengejar impian yang diidamkan selama ini. Apabila saya berpura-pura menjadi kuat, tiada siapa melihat air mata saya yang tersembunyi kecuali Allah. 







Monday, December 30, 2013

ILMU BERMANFAAT

Teks:Nazrul hysam b nadzri 
Cover photo:Carian google


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani



"Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad" dan "ilmu jambatan hidup". Itulah antara dua kata-kata yang membuktikan bahawa betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan. Dari zaman terciptanya nabi Adam hingga manusia di zaman ini dengan berbekalkan ilmu jualah kehidupan menjadi lebih baik, selamat dan lebih terurus.

Namun sesuatu ilmu itu perlu dituntut atau lebih sinonimnya perlu dipelajari bagi seseorang, agar ilmu itu berkesan dan manafaat pada diri, keluarga, masyarakat serta alam sejagat. Semua itu  memerlukan komitmen yang kosistan, disiplin yang tinggi dan perlu berusaha dengan gigihnya bagi medalami sesuatu ilmu itu. 

Ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana ilmu itu tidak akan datang dengan sendirinya. Bak kata pepatah, yang bulat tidak datang menggolek yang pipih tidak datang melayang.

Ilmu yang dimiliki oleh seseorang bukan sahaja boleh memajukan diri mereka malahan mereka juga boleh menyumbangkan tenaga mereka untuk membangunkan agama, bangsa dan tanah air tercinta.


Dari segi agama, mereka boleh menyampaikan ceramah yang boleh menyedarkan manusia tentang kehebatan agama islam itu sendiri dan mendidik masyarakat supaya mematuhi ajaran-ajaran agama. Secara tidak langsung, apabila kesedaran agama itu timbul, maka terangkatlah ketamadunan agama itu sendiri.

Di situ kita akan dapat lihat masyarakat akan lebih peka dan cinta akan ilmu itu sendiri sebagaimana dengan negara Asia tengah contohnya, majoriti rakyatnya mempunyai semangat juang yang tinggi bagi mempertahan ilmu Allah dan rasulnya. 

Orang yang berilmu juga akan dihormati dan disanjung oleh masyarakat. Masyarakat sangat menghargai orang yang berilmu kerana khidmat mereka boleh digunakan untuk kepentingan umum. Setiap yang pakar dengan ilmunya memain peranan masing-masing untuk berkhidmat pada masyarakat, sebagai contoh guru dengan mengajar murid-muridnya, ustaz dengan kuliahnya dan doktor dengan pesakit-pesakitnya.

Ilmu yang kita cari perlulah mencakupi ilmu dunia dan ilmu akhirat. Keseimbangan ilmu ini amat perlu kerana, kita tidak mahu dalam kita mengejar kejayaan dan kedudukan, akhlak dan rohani makin rapuh imannya. Cabaran dunia hari ini memerlukan kita menguasai ilmu agama sebagai benteng dan jati diri daripada melakukan perkara-perkara yang terkeluar dari landasan agama.

Ilmu dan kejayaan tidak boleh dipisahkan, tiada orang berilmu tidak akan berjaya. Bagi saya, ilmu bukan saja dituntut di dalam sekolah malah alam inilah bilik darjah yang luas dan belajarlah dari alam. Belajar dengan alam menyedarkan kita dari mana asalnya ilmu sebenarnya ilmu kepada kita.

Tuesday, December 24, 2013

APA CITAA!!..

Teks: Nazrul hysam b nadzri
Cover photo: Koleksi dalam laptop saya


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani




Sekitar tiga bulan yang lalu di antara pertengahan bulan september saya telah diundang menghadiri program klinik berkerusi roda di sebuah hospital terkemuka di tempat saya, yang sebelum ini pihak hospital ada mengundang saya lima bulan sebelumnya, namun perlaksanaan itu terbantut kerana tiada pemandu yang boleh menghantar saya ke sana. 

Namun atas perbincangan saya, adik sepupu dengan kawan-kawannya bersetuju menghantar saya ke hospital tersebut di bahagian klinik pemulihan, setibanya kami di sana seperti biasa ambil nombor giliran di kuanter dan kami duduk di kerusi bahagian belakang sekali, 'biasalah orang muda mahu buat hal sendiri kononnya'. Setelah menunggu selama satu jam, nama saya pun dipanggil.

Lalu saya pun menuju ke satu bilik yang ketika itu seorang doktor sedang menunggu saya untuk ditemu ramah dan mengambil latar belakang saya. Selang beberapa minit, doktor pakar dan mekanik datang untuk melihat kerusi roda saya. Menurut doktor pakar dan mekanik, kerusi roda saya perlu di ganti baru kerana atas faktor usia yang sudah melebihi lima tahun dan kelengkapannya sudah banyak rosak. Sedang sibuk mereka memeriksa, datang seorang kakak jururawat menghulurkan borang permohonan kepada saya. Kata juruwat itu kepada saya.

Kakak jururawat : Rul, borang ni kau sign je.
Saya : Baik kak, lantas jari ini pun menyain.
Saya : Kak, lepas saya sign nak buat apa?
Kakak jururawat : Yang lain tu kau jangan risau. Nanti akak isi kan borang ni lepas tu akak akan hantarkan borang ni ke pejabat kebajikan hospital. Kau tunggu jelah panggilan dari pihak mereka nanti ya.
Saya: Ok cun.

Hampir satu jam program itu berlangsung, setelah masing-masing mendapat kata sepakat kami pun bersurai. Dalam perjalanan pulang hati ini gembira tidak terkata gembiranya umpama sepasang pengantin di malam pertama barangkali.

Selepas dua bulan saya menunggu tiada khabar berita dari pihak hospital. Hati ini seakan bimbang kerana tidak ada sebarang jawapan yang pasti dari pihak hospital, dua bulan itu satu tempoh yang agak lama buat saya. 

Lalu saya mengambil keputusan dengan menelefon pihak hospital, langkah pertama saya menelefon pihak pejabat kebajikan hospital. Menurut beliau, mereka tidak menerima sebarang surat permohonan atas nama saya dari pihak klinik pemulihan.

Langkah kedua, saya menelefon pihak klinik pemulihan, panggilan saya dijawab oleh kakak jururawat yang sama pada tempoh hari. Dia bilang pihak klinik pemulihan masih belum lagi menghantar borang permohonan ke pejabat kebajikan hospital, kami akan menghantar borang permohonan itu secepat mungkin dan akan menelefon saya katanya.

Saya pun meletakkan telefon dan cuba berlapang dada serta berfikiran positif dengan jawapan kakak jururawat pada waktu itu.

Kini sudah satu bulan saya menunggu. Namun tidak ada sebarang panggilan yang saya terima. Lalu, saya memberanikan diri menelefon pihak hospital kembali. Seperti sedia kala, saya menelefon pihak kebajikan hospital macam biasa tiada sebarang surat permohonan diterima. Kedua saya menelefon pihak klinik pemulihan.

Jawapan dari kakak jururawat yang sama, dia memberitahu ada masalah pula dari pihak pembekal mengenai surat sebut harga, sebut harga yang diberi sebelum ini ada kesilapan katanya. Dalam hati saya berbicara sendiri, ' tiga bulan saya menunggu, jawapan yang tidak munasabah yang diberi, nasib baik saya telefon, kalau tidak entah berapa bulan lagi kena tunggu sambil mengerut dahi '. Hati mula berprasangka tidak enak dengan kakak jururawat itu?.


Tidak sesuai di baik pulih, ganti baru saja menurut doktor pakar
Pantas saya menelefon pihak pembekal. Namun prasangka yang kurang enak itu memang benar tekaannya apabila pihak pembekal memberitahu saya bahawa pihak hospital tidak sedikit pun menghubungi pihak mereka atas kesilapan mengenai sebut harga tersebut, bila mendengar kata-kata pembekal itu apalah yang mampu dilakukan dengan pergerakkan yang terbatas ini, hanya mampu memberikan senyum saja sambil hati berbicara 'sabar jelah dengan kecuaian diri sendiri'. 

Atas perbincangan saya dengan pihak pembekal, mereka akan menghantar surat sebut harga  yang baru kepada pihak hospital pada hari khamis ini. Pesannya, saya disuruh menghantar mesej pesanan ringkas pada pagi khamis tersebut bagi 'mengingati' pada pihak pembekal.

Saya amat kecewa dengan pengurusan kakak jururawat hospital tersebut. Selama tiga bulan saya menunggu tidak ada satu pengurusan pun yang berjalan. Sedangkan kerusi roda enjin saya sudah hampir lima bulan mengalami kerosakan. Lima bulan itu adalah satu perkara yang amat panjang dan meyeksakan bagi saya yang berkeadaan begini. 

Perkara yang amat memilukan mak terpaksa menolak saya ke mana saja baik pergi makan, mandi dan kemana-mana sahaja. Ini boleh membunuh semangat bagi orang yang tidak kuat dalamannya. Tetapi tidak mengapa? Bebekalkan semangat dan kekacakkan yang ada perkara itu tidak berhenti begitu sahaja. Saya akan kerap berhubung dengan pihak hospital selepas ini. Dari pandangan saya ia bagaikan pahat dengan penukul. Apabila di ketuk barulah berjalan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...