Cover photo: Koleksi dalam laptop
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani
Keratan kisah saya di majalah Mingguan Wanita |
Atas rentetan yang berlaku ke atas diri saya pada tahun lalu kini hidup banyak dihabiskan berbaring di atas katil menanggung ketidakselesaan kerana memakan ubat serta menanggung sakit yang sedia ada. Duduk di atas kerusi roda juga tidak digalakkan begitu lama faktor keusangan yang tidak lagi sesuai dengan struktur badan, menurut doktor.
Mak yang semakin lanjut usianya, dialah yang menguruskan segala aktiviti saya sepenuhnya demi memenuhi kehendak anak tercinta. Berat mata memandang berat lagi mak menguruskan saya, tubuh yang berat, lemah dan kaku memang teruji sesiapa yang mengurus saya. Namun kepedihan itu saya telan jua demi meneruskan satu kehidupan yang penuh barakah di sisiNya.
Kadang kala tahap keboringan ini menerjah juga ke dalam diri, penat lelah, keluh kesah bercampur baur jadinya hanya zikir dan selawat menjadi ubat penenang jiwa. Ya Allah kau keluarkanlah hambamu dari kerumitan hidup ini dan berikanlah sinar kebahagian dunia hambamu ini untuk akhirat ya Allah. Tanpa henti, saya memanjatkan doa pada ilahi hinggakan doa itu menjadi rutin harian jadinya.
Masih segar diingatan, lepas makan tengahari sekitar penghujung bulan september yang lalu saya menerima satu panggilan. Menurut panggilan itu, seorang wartawan dari majalah Mingguan Wanita yang bernama puan Maswa (kak Wa) ingin menginterview kisah hidup saya. Bila mendengar pelawaan itu saya belum dapat memberi kata putus yang sebenarnya.
Apa yang bermain difikiran ketika itu; 'Apa kena mengena hidup saya dengan majalah Mingguan Wanita? Nampak macam tak matching saja.'
"Tak mengapa, apa-apa hal nanti, Nazrul mesej kakak ya." Pesan kak Wa kepada saya sambil meninggalkan nombor telefonnya.
Selang satu hari saya pun menghantar sms ke kak Wa memberitahu bahawa saya setuju diinterview atas alasan-alasan tertentu.
Ketibaannya empat hari selepas itu yang ditemani oleh sahabat baiknya kak Jami namanya, membuatkan hati tidak keruan dibuatnya. Maklumlah itu bukan perkara biasa buat diri saya namun bila melihat mereka berdua seolah-olah bertemu artis popular rasanya.
Kiri kak Maswa, kanan kak Jami gabungan mantap bagi dunia kewartawanan |
Suasana santai disulam dengan gelagat mereka yang bersahaja menjadikan hati telus untuk berbicara. Kemesraan yang dibina pada waktu yang singkat, dapat dipupuk dengan akrab menjadikan memori itu begitu indah dan manis, "meleache'ak macam aya'k gulaa ", bak kata orang Kedahnya.
Ketika itulah kak Wa mempelawa saya untuk menulis blog. Tapi saya tidak tahu cara membuat blog walaupun hati ini teringin sangat untuk mempunyai blog sendiri.
"Tidak mengapa nanti akak suruh kawan kakak siapkan satu blog untuk kau ya. Yang penting, blog tu dapat mengisi waktu lapang kau di rumah," katanya.
Selang dua mingggu kemudian kak Wa menelefon saya. Dia bilang blog saya sudah siap dan terus boleh guna, sebarang pertanyaan boleh tanya orang yang menyiapkan blog kau iaitu kak Net.(Puan Netty Ahhiyer yang kini guru saya dalam kelas asas blog dan penulisan, manis orangnya)," kata kak Wa.
Dialah yang mengajar saya sedikit sebanyak cara mengendalikan blog sekali-sekala melalui facebook dengan kemampuan yang ada. Hati gembira tidak terkata ketika itu, jari ini menaip dan terus menaip untuk mengisi waktu lapang.
Namun jauh di sudut hati, bila melihat blog saya seolah-olah banyak yang tidak lengkap di entri saya dan terasa tiada halatujunya. Lama kelamaan saya tiada kepuasan untuk menulis dan saya mengadu kepada kak Net tentang hal itu. Menurut kak Net, "blog yang adik ada ni basic saja, tapi kalau nak dapat trafik yang baik, perlu masuk kelas.
Kini alhamdulilah, jauh perbezaannya bila kita mempunyai guru yang boleh memberi tunjuk ajar dan memberi panduan
terutama dalam membaik pulih tanda baca, mengolah cerita itu jadi lebih menarik dan bermacam-macam lagi dalam penulisan blog ini. Secara tak langsung kita lebih bersemangat untuk menulis dari sebelumnya.
"Jika dulu saya hanya terbaring menanti sinar baru dalam hidup saya. Kini, tiada lagi istilah terbaring layu. Ruang blog ini memberi saya ruang untuk terus bersinar sekaligus memberi membangkitkan harapan yang indah dalam hidup saya.
No comments:
Post a Comment